KOTA KINABALU: Adik Shafie Apdal, Hamid Apdal, 52 yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana awam di Sabah, malam tadi direman lima hari hingga Ahad ini.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie, berikutan permohonan SPRM mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan kes penyelewengan dana RM1.5 bilion Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara tahun 2010 hingga 2016.
Hamid, adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba pada jam 11.30 pagi tadi melalui laluan belakang mahkamah sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret 3 pada kira-kira jam 12 tengah hari.
Empat peguam mewakilinya iaitu Martin Tommy, Loretto J Padua, Hamid Ismail dan Cedric Choo, manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwaan SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.
Sepasukan lima pegawai dan anggota SPRM turut menggeledah rumah Hamid di Putatan selama tiga jam mulai jam 3 petang semalam sebelum beberapa barangan dan dokumen dipercayai bahan bukti untuk kes itu dibawa keluar.
Berikutan penahanan terbaharu itu, seramai tujuh individu ditahan berhubung siasatan dalam kes terbabit, masing-masing empat ahli politik, dua ahli perniagaan dan seorang penjawat awam setakat ini.
Dijangka adik Shafie Apdal lain Hj Zul dan Datuk Yusof Apdal yang juga Adun Lahad Datu bakal ditahan tidak lama lagi berhubung membantu kes siasatan.